KATA-KATA ALUAN PENGERUSI
Buat semua pengunjung Blog ini dan khasnya
kepada warga Bukit Jati yang di hormati lagi dikasehi,
Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah
SWT kerana dengan izinNya kita warga Bukit Jati dapat dikuatkan semangat
untuk terus mengeratkan hubungan silaturrahim antara kita.
Syabas
dan tahniah diucapkan kepada semua Jawatan Kuasa Persatuan Penduduk Perumahan Bukit Jati yang telah terpilih untuk mendapat mandat dan amanah dalam pemilihan AJK semasa Mesyuarat Agung bagi sessi
2014/15 yang lalu. Semoga dengan komitmen Tuan/Puan
beserta sokongan dan kerjasama dari ahli-ahli (warga) Perumahan Bukit Jati,
kita semua diberikan kekuatan olehNya untuk memberikan khidmat yang terbaik
kepada persatuan kita.
Didalam kita semua mengharungi kehidupan yang
semakin sibuk dan mencabar dengan tugas-tugas harian, kita juga terikat dengan
tuntutan untuk memperbaiki silaturrahim antara
jiran-jiran kita. Untuk tempoh dua tahun akan datang, saya dan AJK telah
meletakkan pelbagai harapan dengan mengatur beberapa gerak kerja dan program demi
kebaikkan kita bersama. Diantara harapan dan gerak kerja yang telah disepakati bersama adalah seperti :
1)
Memperkasakan Fungsi dan Tugas AJK
2)
Menambah aktiviti yang lebih baik
3)
Menjalin Hubungan Luar dengan Badan Kerajaan dan NGO
4)
Menjana Ekonomi untuk menambah dana persatuan
5)
Mengelola aktiviti yang boleh merapatkan silaturrahim
6)
Memperbaiki sistem sekuriti yang sedia ada
Sehubungan
dengan itu, penggunaan Blog dan facebook menjadi salah satu cara perhubungan
komunikasi yang berkesan pada zaman sekarang..Oleh itu saya berharap semua
warga Bukit jati dapatlah kiranya selalu mengunjungi Blog ini untuk mengetahui
pekembangan semasa aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan dari masa kesemasa.
Saya juga mengalu-alukan penyertaan Tuan/Puan berkomunikasi untuk memberikan
pendapat dan teguran yang sihat melalui Blog dan Facebook Persatuan Penduduk
Perumahan Bukit Jati.
Saya berharap kita semua dapat sentiasa memupuk niat yang ikhlas
sebelum melakukan amal jariah, fikiran yang positif terhadap sebarang
perubahan, semangat kekitaan dan kejiranan yang tinggi dalam menghadapi
cabaran. Budaya saling menghormati dan mengutamakan jiran dalam melaksanakan
tugasan aktiviti persatuan amat penting untuk menggarap objektif yang
dicita-citakan. Di samping itu berdoa dan bertawakkal sewajarnya sentiasa
dilakukan semoga Allah akan memberi petunjuk dan rahmatNya dalam apa-apa jua
keputusan yang dibuat dan apa-apa jua tindakan yang dilakukan.
Saya menyeru kepada semua warga Bukit Jati
yang masih belum pernah turut serta dengan aktiviti-aktiviti Persatuan, supaya
dapat meluangkan sedikit masa untuk hadir ke majlis dan aktiviti yang telah di
atur demi memenuhi tuntutan untuk kita berbuat baik antara sesama jiran
tetangga.
Sesungguhnya manusia hanya boleh merancang
namun Allah jua yang menentukan. Oleh itu, kita sewajarnya terus berusaha, dan tidak
merasa letih dan jemu apatah lagi kecewa untuk bekerja sehingga tercapai apa
yang kita cita-citakan. Semoga dengan berkat kegigihan, kesabaran dan
kepasrahan kepada Yang Esa, kecemerlangan yang telah kita capai pada masa kini
akan terus meningkat ke tahap kegemilangan yang dapat memberikan menafaat yang
maksimum kepada kita semua.
Akhir kata saya ucapkan jutaan Terima Kasih
kepada semua pengunjung Blog ini. Berikan lah teguran yang membina jika ada. Di
samping itu, kita perlu sentiasa mengharap dan memohon kepada Allah agar
apa-apa jua kesalahan dan kesilapan kita dalam melaksanakan tugas dan kewajipan
sehari-harian akan mendapat keampunanNya.
Bersamalah kita menjiwai dan berusaha kearah
mencapai motto persatuan kita iaitu :
“Meriah, Mesra & Muafakat”
Sekian.
Yang Ikhlas Berkhidmat,
Nordin Bin Othman
Pengerusi
Persatuan Penduduk Perumahan Bukit Jati
Pasir Gudang
19 Jan 2014